PETIKAN AKHBAR


BERITA HARIAN
Sabtu - 26.02.2011




KUALA LUMPUR 26 Feb. - Wanita negara ini amat beruntung kerana pembabitan mereka dalam pembangunan negara mendapat pengiktirafan apabila kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar dan program demi kemajuan mereka.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ini terbukti melalui peluang kepada wanita untuk bersama-sama berperanan dalam pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara.

Beliau berkata, melalui kesaksamaan gender dan keperkasaan wanita, kaum tersebut turut berperanan membantu menjana kemakmuran, pertumbuhan dan kemajuan negara.
"Keseriusan kerajaan memberikan hak sama rata kepada wanita dalam pendidikan, pekerjaan dan kepimpinan terbukti melalui pindaan Perlembagaan pada tahun 2001 untuk menghalang diskriminasi gender.

"Justeru itu tidak hairanlah jika wanita Malaysia hari ini telah menjadi komponen penting bukan sahaja dalam aspek pembangunan modal insan tetapi turut memberi impak dalam dunia perniagaan dan sektor korporat serta politik dan sosial.
"Ia menjadi inspirasi kepada kerajaan untuk terus menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita dalam proses pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sambutan Hari Peringatan Sedunia 2011 Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) di sini hari ini.
Teks ucapannya dibacakan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Raja Puan Muda Perak, Raja Nur Mahani Raja Shahar Shah.

Rosmah terpaksa pulang awal dari majlis tersebut kerana mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Labuan.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah cucu kepada Pengasas Persatuan Pengakap dan Pandu Puteri, Michael Baden-Powell dan Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datin Seri Zalillah Mohd. Taib.

Bertemakan Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) 3: Kesaksamaan Gender dan Memperkasakan Wanita, sambutan Hari Pandu Puteri dirai pada 22 Februari setiap tahun oleh semua ahli Pandu Puteri dan Pengakap Puteri seluruh dunia.

*********************************************************************************************************************************************


SINAR HARIAN
Khamis - 17.02.2011