Rabu, 29 Februari 2012

PERUTUSAN OLEH KETUA PESURUHJAYA SEMPENA HARI PERINGATAN SEDUNIA 2012





Salam  sejahtera, Salam Pandu Puteri dan Salam 1 Malaysia


Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Menyambut Hari Peringatan Sedunia yang jatuhnya pada 22 Februari setiap tahun.  Sebagaimana yang kita semua maklum tanggal 22 Februari disambut sebagai Hari Peringatan Sedunia oleh keluarga Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia, sementara  keluarga pergerakan Pengakap pula menyambut tanggal yang sama 22 Februari sebagai Hari Pengasas. Ini disebabkan oleh kedua-dua pergerakan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia serta Pergerakan Pengakap dimulakan oleh pengasas yang sama ia itu Lord Stevenson Smyth Baden Powell. Bagi keluarga Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia, tanggal 22 Februari  lebih bermakna dan mempunyai satu lagi keistimewaan di mana  Lady Olave Baden Powell, isteri Lord Baden Powell juga lahir pada tanggal yang sama.

Dari Matlamat Ke-7 Perkembangan Milinium (Millennium Development Goal 7 ) ia itu untuk memastikan kemampanan alam sekitar (ensuring environmental sustainability) maka lahirlah tema bagi Hari Peringatan Sedunia tahun ini yang berbunyi “ Kita boleh menyelamatkan bumi kita atau dalam bahasa Inggeris “we can save our planet”.

Oleh itu segala perayaan dan aktiviti bagi tahun 2012 ini perlu memberi tumpuan kepada usaha-usaha menyelamatkan dunia dalam apa cara sekali pun.  Di peringkat global Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia menaruh harapan penuh kepada gadis dan wanita remaja dalam usaha untuk menyelamatkan dunia melalui beberapa aktiviti penting.  Sebagai contoh pada tahun ini Persatuan Pandu Puteri Malaysia akan menghantar ahli-ahli muda di bawah umur 20 tahun ke acara-acara antarabangsa yang berfokuskan kepada alam sekitar seperti satu forum di “Sangam” yang bertajuk “WLDP : Young Women Leading For A Greener Future”    (12 – 21 Mac 2012) dan “Girls’ World Forum” (12 – 16 July 2012) di Chicago Amerika Syarikat.

Di samping itu Persatuan Pandu Puteri Malaysia juga tidak ketinggalan menganjur beberapa aktiviti melalui program Turun Padang yang dikendalikan oleh pihak Cawangan. Sambutan Hari Peringatan peringkat kebangsaan tahun ini akan berfokus kepada menjaga alam sekitar daripada pencemaran udara.  Sambutan Hari Peringatan peringkat kebangsaan akan disambut pada 26 Februari 2012 di Seremban, Negeri Sembilan kelolaan Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Negeri Sembilan. Di antara aktiviti untuk sambutan Hari Peringatan peringkat kebangsaan kali ini juga berkaitan dengan usaha memberi dan menimbulkan kesedaran kepada pentingnya kitar semula bagi menyelamatkan bumi kita.

Tema Hari Peringatan tahun ini juga dikaitkan dengan sambutan 100 tahun penubuhan Pergerakan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia dengan konsep “SHARE” atau perkongsian bagi tahun 2012.  Sesungguhnya objektif Projek Turun Padang adalah bermatlamatkan dan berfokuskan konsep perkongsian ilmu, dan kemahiran antara ahli-ahli Pandu Puteri dengan masyarakat umum.

Sempena namanya, perayaan Hari Peringatan juga memberi peluang kepada ahli-ahli terutama yang remaja untuk memperingati rakan-rakan Pandu Puteri dan membantu mereka dengan menghulurkan sumbangan untuk Tabung Hari Peringatan. Sumbangan yang dihulurkan oleh ahli-ahli dikenali sebagai “Thinking Day Penny” akan dapat membantu rakan-rakan Pandu Puteri dari seluruh dunia yang memerlukannya. Sumbangan Hari Peringatan juga dapat membantu dalam perkembangan dan pembangunan pergerakan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia sejagat.

Memandangkan masa depan dunia kita sebenarnya adalah di dalam tangan kaum muda dan remaja, maka kebajikan anak muda dan remaja mestilah dijadikan tumpuan utama dalam sebarang dan semua polisi dan program pembangunan yang bermatlamatkan kepada kebaikan alam sekitar pada masa hadapan. 


Sumbangan anda ke arah tabung Hari Peringatan amat vital. Oleh itu marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan. Kerana bantuan sedikit sebanyak dapat membantu sebahagian daripada 10 juta ahli-ahli muda dan remaja dari seluruh dunia.

Sekali lagi saya mengambil kesempatan ini mengucapkan kepada semua keluarga Persatuan Pandu Puteri Malaysia dari seluruh pelusuk negara SELAMAT MENYAMBUT HARI PERINGATAN.


Datin Seri Hajah Zalillah Bte Mohd Taib
Ketua Pesuruhjaya
Persatuan Pandu Puteri Malaysia